Siapa Al-Masih Selepas Kimanis?

PRK Kimanis adalah rentetan kekosongan kerusi Parlimen Kimanis berikutan penerimaan Perakuan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum bagi parlimen itu, yang disandang oleh Datuk Seri Anifah Aman pada 9 Mei 2018, adalah tidak sah dan terbatal. Tarikh penamaan calon yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah pada 4 Januari 2020, dan tarikh mengundi pada 18 Januari 2020.

Pertandingan sudah berakhir dan kita sudah menemukan pemenangnya. Namun, apakah selepas Kimanis? Atau yang lebih khusus, adakah Kimanis menjadi rempah ratus perubahan – untuk konteks ini adalah perubahan politik di Sabah – atau ianya hanya sekadar momen-momen kenangan manis parti-parti politik yang merayakan hari kebesaran mereka? Tempat pengebumian bangkai-bangkai kekalahan yang akan berkubur bersama janji hingus-hingusan?

Melihat kepada iklim kempen PRK P176 Kimanis yang lebih merudum dan merosot jika dibandingkan dengan PRK P186 Sandakan, sebenarnya bukan sekadar mengambilkira stamina parti politik yang bertanding, namun sebagai refleksi kepada dinamika politik Sabah yang sekiranya digambarkan sebagai sehelai baju, ianya lusuh dan koyak rabak kerana dicarik-carik atau seorang anak kecil yang dibuli, dibelasah dan dibantai beramai-ramai. Demikianlah rakyat Sabah tergambarkan dalam siri-siri PRK. Ianya tidak lain hanya sebentuk projek pembantaian yang paling lemah-lembut kerana ianya disumbat dengan pujuk-rayu, simpati dan kalam-kalam kebenaran yang diteriak oleh syuhada-syuhada politik di bawah terik matahari. Keringat yang tak kering lencun membasahi dahi para jentera tempur.

Berapa kali lagi Sabahan harus dibelasah teruk seperti ini? Siapa lagi yang akan syahid tertanam selepas ini? Apalagi muluk-muluk politik yang akan meniti di bibir-bibir para Al-Masih politik di sini? Yang sakral dan tak terbendungkan.

Pseudo-Al-Masih

“Politik adalah cara merampok dunia. Politik adalah cara menggulingkan kekuasaan untuk menikmati giliran berkuasa” (WS Rendra, 1977, Sajak Kenalan Lamamu)

PRK Kimanis baru-baru ini adalah sebentuk naratif politik yang tidak memihak kepada blok kerajaan atau koalisi Warisan-PH di Sabah. Namun, adakah umpan-umpan yang berbaur propaganda politik daripada blok oposisi menyerupai semacam risalah kebenaran oleh Al-Masih kepada umat akhir zaman? Atau adakah pemenang dalam pertempuran kali ini telah menabalkan “The Savior” yang baru kepada semua rakyat Sabah?

Pemain politik di Sabah adalah pengamal taktik politik turun temurun. Ianya sebentuk silsilah politik yang berubah menjadi dogma dan kitaran-kitarannya sudah kelihatan tipikal dan tidak dipermasalahkan. Politik sentimen atau yang lebih canggih dan tajam adalah politik perkauman. Namun, adakah propaganda politik yang menyusur di celah rumah pengundi di Kimanis adalah sekarung sentimen atau ianya berupa sebentuk penyuaraan hak atau sebenarnya memang ada yang benar-benar terancam dalam kocakan politik Kimanis baru-baru ini?

Para pseudo-Al-Masih yang sedang berarak memimpin kaumnya kepada sebuah kemenangan yang paling manis telah bertelingkah tentang sesuatu yang mereka anggap sebagai “ancaman” atau “penawar” kepada segala bentuk masalah di Sabah iaitu masalah alien-alien daripada suku kaum tertentu. Kerancuan mereka adalah ketika titik analisis tidak ditemukan, namun kedua-dua blok ini menjerit kepada Tuhan bahawa mereka siap-siaga melumurkan darah di tangan untuk meleraikan segala kekusutan ini. Ungkapan yang sarat falasi daripada para pseudo-Al-Masih ini tidak terlalu difahami oleh rakyat Sabah. Mereka melihatnya sebagai pengorbanan agung atau sekiranya ada yang terkorban dalam sepak terajang ini, ruh mereka akan terangkat terus kepada Tuhan yang mengadili tanpa hisab dan perhitungan.

Pas Sementara Sabah (PSS) atau apa saja nama yang diberikan oleh pseudo-Al-Masih ini adalah kesemberonoan yang memakan tuannya. Semenjak pengumuman pembatalan keputusan PRU14 P176 Kimanis, blok oposisi yang menanggapi hal ini sebagai ancaman, bersiap-siaga dan taktik mula disusun. Plot-plotnya kemas dan tak banyak berbasa-basi. “Hantar mereka pulang” atau “mereka bakal mengancam hak orang asal”. Ini adalah lauk-pauk Sabahan menuju kepada period serius sekaligus plot klimaks pada Himpunan Solidariti Rakyat Sabah Bantah PSS di Kimanis, beberapa hari sebelum para pengundi memangkah seorang penyelamat umat.

Di seberang, mereka pula mengatakan bahawa ini adalah penawar yang kita perlukan. Anti-virus kepada segala wabak sosial yang memaku kesenjangan kaum di Sabah atau apa-apa saja nama kepada penyakit itu. Mereka mahu menyelamatkan lebih 100,000 orang warga asing. Mereka mahu melontar pelampung agar 100,000 orang ini tidak karam terbenam ke dasar laut kerancuan. Namun, ianya ungkapan tanpa strategi atau pemasaran politik ini juga boleh dianggap berkotak-katik tanpa taktik. Rakyat tidak faham, tidak tahu maksud baik mereka mengubati atau mungkin boleh juga disebut mahu menamatkan virus kronik ini.

Ramai menjadi keliru. Tidak cukup 12 purnama cadangan melaksanakannya, sepak-terajang dan pergocohan sini sana, kemudian dibatalkan. Umat menjadi keliru, mustahil keputusan ini daripada Al-Masih. Mengapa indikatornya adalah pertandingan kuasa atau tekanan-tekanan yang tak mampu dibalas? Mengapa Al-Masih tidak memihak atau sekurang-kurangnya membacakan risalah penyelamat dengan rinci dari huruf ke huruf kepada umatnya?

Dinamika Politik Sabah

Ketika Kimanis mendedahkan ramalan politik Sabah beberapa tahun akan datang, rakyat terpinga-pinga menantikan sesuatu yang baru dalam budaya politik di Sabah atau sifir-sifir yang digunakan oleh pemain-pemain politik di Sabah.

Koalisi politik oposisi termasuklah kerajaan adalah koalisi yang goyah atau rapuh atau menunggu tersadung ke bumi. Mereka bersilat dengan memakai “kuda-kuda” pemain politik lama. Politik basi, politik kotak-katik. Kegagalan blok kerajaan menguruskan tanggapan oleh rakyat atas polisi-polisi mereka atau kecelaruan mereka menyusun taktik yang kemas dan mapan adalah kegagalan politik Sabah menemukan dinamika wajah baru atau sebuah atmosfera politik yang segar dan bugar.

Bagaimana Sabah boleh menemukan Al-Masih-nya pasca-Kimanis? Rakyatlah yang akan menggarisi takdir ini. Dinamika politik Sabah dan keanjalannya harus disumbat dengan politik rakyat; politik dari bawah ke atas. PSS atau PRS atau apa saja nama pelampung itu nanti, tidak boleh wujud dikotomi antara keputusan kerajaan daripada blok politik dengan para pemegang taruh atau rakyat. Masalah di bawah, rumusnya harus ditemukan daripada bawah.

Al-Masih selepas Kimanis haruslah sebuah wajah kebertanggungjawaban dan keberanian bersikap. Telus dengan idea dan perlaksanaan. Bersiap untuk menawarkan penawar yang lebih mujarab dan tanggapan-tanggapan yang memihak. Rakyat telah menyelak risalah pengajaran politik pasca pertukaran kerajaan PRU yang lalu. Ianya adalah pendidikan politik tidak formal di Sabah. Pseudo Al-Masih akan tumpas apabila rakyat sudah mula berkira-kira memilih blok itu atau blok ini. Ketika politik sudah tidak hitam-putih, A atau B, Pepsi atau Coke, maka ketika itulah Al-Masih yang akurat akan ditemukan.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IMAN Research.